Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di daerah Sidoarjo, Indonesia untuk fasa kedua akan ditambah dengan beberapa peraturan baru antaranya ialah pesalah yang melanggar PSBB akan dihantar menjadi sukarelawan untuk membantu proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19, lapor portal detik news.
Terdahulu, pesalah yang melanggar peraturan tersebut akan dikenakan sekatan ke atas urusan pentadbiran iaitu seperti penggantungan sementara lesen memandu selama 6 bulan.
Ketua Polis Daerah Sidoarjo, Komisioner Pol Sumardji berkata, peraturan tambahan dalam fasa 2 PSBB itu akan dilaksanakan bagi memastikan penduduk setempat patuh dengan arahan yang dikeluarkan.
“Seperti menjadi sukarelawan untuk membantu proses pengebumian pesakit Covid-19 di perkuburan awam,” kata Sumardji kepada wartawan di Sidoarjo Mapolresta, Rabu (13/5/2020).
Sumardji menambah, pesalah juga akan ditempatkan untuk membersihkan tempat-tempat ibadah serta membantu dapur umum Covid-19. Tempoh hukuman itu akan berkuatkuasa sehingga tamatnya perintah PSBB di daerah tersebut.
“Pesalah itu akan menjalani tempoh hukumannya sehingga perintah PSBB ditarik semula,” ujarnya.
Dalam pada itu juga, Sumardji turut memberi amaran kepada peniaga untuk tidak membuka perniagaan mereka buat masa ini sekiranya tidak mahu lesen perniagaan mereka digantung.
“Bagi peniaga yang masih berdegil menjalankan perniagaan, lesen perniagaan mereka boleh digantung,” katanya.
Sumber: Detik News