
Pesakit Temui Ajal, Gara-Gara Doktor Tersilap Buang Organ
Seorang pakar bedah di Amerika Syarikat digantung kerja selepas didakwa melakukan kesilapan dalam prosedur pembedahan yang dikendalikannya hingga menyebabkan kematian pesakit.
Menurut Independent UK, doktor berkenaan dan tempat kerjanya kini berdepan dengan tindakan undang-undang selepas disyaki cuba menyembunyikan insiden tersebut.
Balu mendiang, Beverly Bryan, mendakwa doktor tersebut tersilap mengeluarkan bahagian hati dan bukannya limpa ketika melakukan pembedahan ke atas suaminya, William Bryan.
Malah, kakitangan hospital itu juga didakwa cuba menutup kesilapan yang berlaku dengan meletakkan kenyataan palsu pada beberapa dokumen termasuk sijil kematian mendiang.
Ekoran itu, keluarga William telah memfailkan tuntutan saman ke atas doktor, empat jururawat dan hospital berkenaan kerana menyebabkan kematiannya.
Lelaki meninggal dunia, doktor tersilap buang organ semasa pembedahannya
Berdasarkan rekod, mendiang yang berusia 70 tahun ketika kejadian itu berlaku mengadu sakit pada bahagian kiri badannya. Dia seterusnya telah dimasukan ke hospital tersebut untuk menerima rawatan.
Pemeriksaan yang dibuat kemudian mendapati bahawa lelaki itu berdepan masalah limpa abnormal.
Menurut Beverly, mereka dinasihatkan untuk menjalani pembedahan laparoscopic splenectomy bagi mengelak komplikasi lebih teruk berlaku.
Mangsa pada mulanya menolak pembedahan berkenaan dan hanya ingin mendapatkan rawatan di rumah selepas bertemu dengan doktor.
Namun, kesihatannya semakin merudum sekaligus membuatkan mangsa bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut.
Bagaimanapun semasa pembedahan dijalankan, doktor tersebut telah melakukan kesilapan dengan mengeluarkan hati dan bukannya limpa mangsa.
Malah, ketika meletakkan organ tersebut di atas meja pembedahan, doktor berkenaan menegaskan bahawa organ yang dikeluarkan itu adalah limpa.
Laporan patologi yang dikeluarkan kemudian mengesahkan bahawa organ yang dilabel sebagai limpa oleh doktor itu sebenarnya adalah bahagian hati William.
Kejadian itu menyebabkan Beverly mendakwa suaminya menjadi mangsa ‘pembunuhan’ di dalam bilik bedah.
Keluarga mendiang kini menuntut lebih USD150,000 sebagai ganti rugi perbelanjaan perubatan, pengebumian, penderitaan mental dan kehilangan persahabatan serta perlindungan.
Difahamkan, doktor berkenaan mempunyai rekod melakukan kesilapan semasa pembedahan terhadap beberapa orang pesakit sebelum ini.
Pada Julai 2023, dia dipercayai tidak sengaja menyebabkan perut seorang pesakit berlubang semasa menjalankan prosedur mengeluarkan pundi hempedu.
Dalam insiden berlainan, doktor tersebut turut tersilap mengeluarkan sebahagian pankres seorang pesakit menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kekal.
BACA: Kenapa “Mileage” Kereta Baru Bukan Kosong? Ini Sebabnya
Sumber: Independent UK