Rata-rata mungkin pernah merasai sakit pada bahagian abdomen ketika sedang bersenam, khususnya berlari.
Menurut Hello Doktor, keadaan ini dikenali sebagai side stitches, iaitu sensasi tajam dan menikam pada sisi perut.
Hampir 70 peratus individu yang aktif berlari dikatakan pernah mengalami keadaan ini di mana ia lebih kerap terjadi pada sebelah kanan abdomen berbanding sebelah kiri.
Untuk lebih memahami keadaan ini, mari kita baca penjelasan oleh Hello Doktor di bawah.
Individu yang baru mula berlari juga didapati lebih mudah terkena cramp atau sakit pada bahagian sisi perut. Oleh itu, jika anda baru mula berlari, pastikan anda jaga pemakanan anda sebelum memulakan larian.
Side stiches atau cramp mungkin akan membuatkan anda rasa tidak selesa semasa berlari. Tambah lagi, ada juga yang terpaksa berlari ke tandas ketika sedang bersenam akibat masalah ini!

Jadi, bagaimana hendak selesaikan? Jom ikuti tips senaman kami untuk kurangkan rasa sakit yang anda alami ketika berlari.
Sebelum bersenam, pastikan anda melakukan warm up ataupun regangan terlebih dahulu!
Senaman ringan ini dapat melancarkan peredaran darah, menaikkan suhu badan dan meningkatkan kadar degupan jantung.
Aktiviti regangan juga dapat membantu otot lebih bersedia untuk melakukan pergerakan yang lebih banyak ketika bersenam nanti.
Oleh itu, anda disarankan untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya 20-30 minit sebelum bersenam. Dengan melakukan senaman, badan akan jadi lebih bersedia untuk melakukan aktiviti fizikal.
Selain itu, anda boleh mulakan senaman dengan perlahan. Pada 10 minit yang pertama, mulakan larian anda dengan perlahan sebelum memecut.

Ramai yang mengelak minum air sebelum bersenam kerana tidak mahu perut dipenuhi air ketika berlari. Keadaan ini boleh menyebabkan pelari rasa tidak selesa dan rasa ingin muntah.
Walau bagaimanapun, tidak minum air langsung ketika berlari boleh membuatkan rasa sakit pada sisi perut yang anda alami jadi makin kerap.
Individu yang tidak minum air dengan cukup juga boleh rasa kejang dan mungkin akan alami cirit-birit apabila senaman telah berakhir.
Jika boleh, pastikan anda minum air secukupnya sebelum bersenam dan bawa botol air supaya anda boleh kekal hidrasi sepanjang larian.

Selain itu, pastikan anda minum air secara perlahan-lahan. Jangan teguk air dengan cepat! Perkara ini juga boleh menyebabkan anda diserang rasa kejang ketika berlari!
Makanan penuh serat penting untuk kesihatan perut. Walau bagaimanapun, sebelum berlari, pastikan anda tidak mengambil terlalu banyak makanan berserat.
Makanan berserat boleh menyebabkan anda tiba-tiba sakit perut dan terpaksa ke tandas sewaktu bersenam!
Oleh itu, elakkan makan roti, bijirin, sayur-sayuran hijau, brokoli ataupun buah-buahan seperti beri 4-5 jam sebelum memulakan larian.
Jika anda ingin bersenam, elakkan makan makanan yang berlemak supaya anda tidak akan diserang sakit perut ketika berlari. Jika boleh, makan makanan seperti:
Pisang
Energy bar
Yogurt atau granola
Nasi dengan telur rebus atau poached egg
Makanan yang disenaraikan di atas rendah lemak dan rendah serat. Jika anda kerap alami masalah sakit perut dan kekejangan, cuba amalkan makanan di atas!

Ada orang yang lebih ‘sensitif’ terhadap kopi! Apabila terbau sahaja kopi, terus rasa hendak ke tandas!
Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, elakkan minum kopi sebelum anda pergi berjoging. Mana tahu, masalah perut memulas yang anda alami semasa berjoging dapat dikurangkan!
Jika perut anda kejang ketika berlari, anda dinasihatkan untuk memperlahankan larian ataupun berjalan sebentar.
Jika anda ingin minum air, cuba minum air yang boleh mengembalikan keseimbangan elektrolit dalam badan.
Kebanyakan atlet, lebih-lebih lagi pelari akan mengalami masalah sakit pada sisi perut dari semasa ke semasa. Kekejangan ini merupakan sesuatu yang normal dan lazim berlaku.
Side stitch atau cramp yang anda alami sepatutnya hilang dalam beberapa minit.
Namun, jika anda telah melakukan tips senaman di atas ataupun mengalami kesakitan yang berpanjangan ketika bersenam, mungkin ia bukan disebabkan oleh kekejangan.
Oleh itu, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan. Kesakitan yang berpanjangan mungkin tanda penyakit lain yang lebih serius.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.