Peruntukan Tambahan RM800 Juta Disalurkan Untuk Tangani Isu Bekalan Air Sabah & Kelantan – PM
KUALA LUMPUR — Dalam ucapan perasmian rencana Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bakal menyediakan peruntukan tambahan RM800 juta bagi nenyelesaikan isu air di Sabah dan Kelantan.
Ia selepas Kerajaan melihat sebahagian penduduk di Kelantan dan Sabah tidak mempunyai akses kepada bekalan air yang konsisten dan berkualiti.
“Kerajaan Perpaduan komited menangani isu ini dan bersetuju untuk menyediakan keseluruhan RM800 juta tambahan.
“Ia bagi penyelesaian jangka pendek untuk kedua-dua negeri ini,” kata Perdana Menteri.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir, seperti Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor.
Ia bagi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir.
Untuk makluman, Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.
Rencana ini bagi memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.
Bukan sahaja itu, kerajaan mengambil berat dalam isu-isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi, lapor Bernama.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu depan.
“Saya fikir pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Sumber:
Jabatan Perdana Menteri