
Peruntukan Kepada Negeri Disalur Ikut Keperluan, Tiada Istilah ‘Dianaktiri’ – Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu negeri ‘dianaktiri’ dari segi peruntukan tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia disalurkan mengikut keperluan rakyat.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2025) Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada Rabu.
“Tidak wajar untuk beberapa negeri dikuasai pembangkang di Semenanjung mengatakan ‘kami dianaktirikan, kami dizalimi’ kerana kenyataannya berbeza.
“Apa yang kita lakukan dalam beberapa tahun Kerajaan MADANI ini membuktikan peruntukan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu ditambah, bukan kerana kita pilih untuk tambah, tetapi kerana keperluan di negeri-negeri terbabit,” katanya
Menurutnya, kerana keperluan itu, lonjakan perbelanjaan untuk semua negeri itu semestinya perlu tinggi.
Beliau juga turut menekankan mengenai tadbir urus yang mempunyai integriti dan mengimbas kembali isu yang berlaku pada sekolah agama rakyat pada tahun 2003 dan 2004.
“Umpamanya pada tahun 2003 dan 2004, mantan Perdana Menteri membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya tidak setuju.
“Betul ada masalah kurikulum, tetapi ratusan ribu anak-anak ini jangan dikorbankan kerana perbezaan pandangan politik. Ini soal integriti.
“Kita nak jaga negara atau jaga parti sehingga menidakkan hak yang lain? Jadi sejak kita ambil alih dalam kerajaan MADANI, kita kembalikan peruntukan itu kepada sekolah agama rakyat, yang banyak dimanfaatkan di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.
Tegasnya lagi, perkara itu perlu dijelaskan agar ia difahami oleh semua orang.
Sementara itu, Anwar telah menyempurnakan MAPIN dan AIGA 2025 dengan menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada dua organisasi dari sektor swasta dan sektor awam.
Bagi sektor awam, anugerah itu telah dinobatkan kepada Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Manakala, sektor swasta pula kepada Duopharma Biotech Berhad.
Majlis itu juga turut dihadiri oleh menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) dan wakil-wakil tertinggi agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dari seluruh negara.