Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam 2025 (CDO CONVEX 2025)
Tiada Kategori

Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam 2025 (CDO CONVEX 2025)

Siti Sakinah

Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam 2025 (CDO CONVEX 2025)

PUTRAJAYA – Pelantikan Ketua Pegawai Digital (CDO) merupakan merupakan langkah strategik Jabatan Digital Negara untuk memastikan setiap agensi kerajaan mempunyai pemimpin digital yang berkeupayaan tinggi dalam menerajui pelaksanaan inisiatif pendigitalan.

Ini kerana peranan CDO sebagai pemimpin digital dilihat lebih signifikan dalam memanfaatkan teknologi digital yang menyumbang kepada transformasi organisasi secara menyeluruh, peningkatan kecekapan operasi, serta penciptaan nilai baharu dalam perkhidmatan dan produk.

Ia direalisasikan dalam Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam 2025 (CDO CONVEX 2025) yang bertemakan “Pemimpin Digital Cerdas dan Tangkas Era Baharu” anjuran Jabatan Digital Negara (JDN) yang telah berlangsung pada 30 Jun 2025 (Isnin) di Hotel The Everly Putrajaya.

CDO CONVEX 2025 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara dan telah dihadiri oleh 500 orang peserta. Para peserta yang hadir adalah dalam kalangan CDO dan pengurus ICT sektor awam serta wakil pengurusan daripada kementerian dan agensi terpilih. Persidangan ini turut dihadiri oleh pembentang, ahli panel dan pempamer dari kerajaan, industri dan akademia.

CDO CONVEX 2025 adalah usaha sama strategik JDN dan Koperasi Profesion Teknologi Berhad (KoProTech). Acara ini juga telah disiarkan secara penstriman langsung melalui akaun rasmi YouTube JDN agar dapat ditonton bersama pegawai-pegawai sektor awam dan orang awam.

Penganjuran CDO CONVEX 2025 merupakan platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam transformasi digital kepada pemimpin digital khusus CDO sektor awam telah memfokuskan kepada peranan serta kepimpinan CDO sebagai penggerak utama agenda pendigitalan negara.

Tema yang diangkat sempena CDO CONVEX 2025 menekankan keperluan melahirkan barisan pemimpin yang memiliki pemikiran analitik, berwawasan jauh, serta mampu menyesuaikan diri dengan cepat terhadap perubahan teknologi dan landskap digital yang dinamik.

Persidangan ini diharapkan memberi manfaat sepenuhnya kepada peserta khususnya, CDO sektor awam terutamanya dalam merancang hala tuju digital organisasi, menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan sekali gus memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penganjuran CDO CONVEX 2025 ini juga diharap dapat membuka ruang kesedaran dan pemahaman yang lebih luas dalam kalangan masyarakat mengenai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.