
Persekutuan Bola Sepak Morocco Belanja 13,000 Tiket “Game” Separuh Akhir Pada “Fans”
Persekutuan Bola Sepak Morocco telah mengumumkan akan memberi sebanyak 13,000 tiket percuma perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Perancis, lapor Daily Mail.
Tak hanya itu, syarikat penerbangan negara itu juga telah menambah 30 penerbangan tambahan untuk rakyatnya yang berminat untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir tersebut di Qatar.
Pasukan Morocco berjaya mencipta sejarah apabila menjadi negara Afrika dan Arab pertama yang mara ke pusingan separuh akhir di Piala Dunia 2022.

Pasukan Afrika Utara itu telah memperolehi kemenangan yang mengejutkan selepas menundukkan Portugal dengan keputusan 1-0 pada suku akhir, susulan kejayaan mereka dalam penentuan sepakan penalti sewaktu menentang Sepanyol dalam 16 pusingan terakhir.
Persekutuan Bola Sepak Morocco telah menawarkan tiket percuma kepada peminat untuk beberapa perlawanan mereka di Qatar dengan skuad itu telah mendapat sokongan besar di stadium dan sekitar negara tuan rumah semasa kejohanan itu berlangsung.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Menurut BBC, persekutuan itu akan mengagihkan sebanyak 13,000 tiket secara percuma kepada peminatnya untuk perlawanan separuh akhir awal pagi ini di Doha. Tiket percuma tersebut dijangka akan diedarkan oleh kedutaan Morocco di Qatar.
Syarikat penerbangan Royal Air Maroc juga difahamkan telah menambah 30 penerbangan promosi kepada seluruh peminat negara tersebut.

Beribu-ribu peminat pasukan Moroco dilaporkan telah beratur di Stadium Al-Janoub pada hari ini. Kira-kira 20,000 peminat dijangka akan menghadiri perlawanan itu pada awal pagi nanti. Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Al Bayt yang boleh memuatkan seramai 68,895 orang dalam satu-satu masa.
Dalam perlawanan awal pagi tadi pasukan Argentina berjaya menundukkan pasukan Croatia dengan keputusan 3-0 sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir.
Sumber: Daily Mail