
Pernah tular menerusi video-video nasihat di media sosial, kanak-kanak yang dikenali sebagai Aming ini menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Muhammad Aming Salleh Abdullah, 8, meninggal dunia pada jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Tawau selepas mengalami sesak nafas.
Ibu Aming, Santi Sabri ketika dihubungi Sinar Harian berkata, Aming sebelumnya sihat tanpa sebarang penyakit. Malah kanak-kanak tersebut tidak dijangkiti Covid-19.
“Dia cuma makan mi segera saja kemudian sesak nafas.
“Saya sangka biasa-biasa saja sebab anak saya tak sakit,” kata Santi kepada Sinar Harian.
Malah menurut Santi, Aming sempat mengangkat barang-barang ibunya, azan dan solat. Lebih memilukan, Aming sempat berpesan kepada ibunya supaya menutup aurat agar bapanya tidak menanggung dosa.
Jenazah Aming akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Titingan setelah selesai diuruskan, kata ibu Aming memetik laporan Sinar Harian. Aming sebelum ini pernah mendapat sorotan warga net melalui video berunsur nasihat kepada orang ramai agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Malah salah satu videonya turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu masih menyandang jawatan Menteri Kanan Keselamatan.
Takziah diucapkan buat keluarga Aming. Semoga roh Aming dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian