
Pernah Jadi Mahkamah Malaya, Ini Kronologi Sejarah Pembinaan Bangunan Sultan Abdul Samad
Sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad mencerminkan perkembangan awal pentadbiran kolonial di Kuala Lumpur.
Bangunan ikonik abad ke-19 ini bukan sekadar mercu tanda bandar, malah menjadi saksi perubahan fungsi pentadbiran, perundangan dan warisan negara dari zaman British hingga kini.

Bangunan Sultan Abdul Samad dibina pada abad ke-19 ketika Selangor berada di bawah pemerintahan Sultan Abdul Samad.
Pembinaan bangunan ini bertujuan menempatkan pejabat pentadbiran penjajah British di Kuala Lumpur.
Pada peringkat awal, bangunan ini hanya dikenali sebagai pejabat kerajaan tanpa nama rasmi.
Sebelum pembinaan bangunan ini, pejabat kerajaan terletak di kawasan berbukit di Jalan Bluff, yang kini dikenali sebagai Jalan Bukit Aman.
Lokasi tersebut menghadap Padang, yang kini dinamakan Dataran Merdeka.
Keperluan untuk menambah ruang pejabat serta aduan orang awam mengenai jalan berbukit mendorong perubahan perancangan.
Charles Edwin Spooner dari Jabatan Kerja Raya Selangor mencadangkan pembinaan pejabat kerajaan di kawasan dataran.
Cadangan pertama ditolak kerana kos tinggi, namun cadangan kedua diterima oleh British Resident Selangor, William Edward Maxwell, kerana kos yang lebih rendah.

Reka bentuk awal bangunan disediakan oleh A.C. Norman bersama pembantunya, R.A.J. Bidwell, dengan gaya Renaissance klasik.
Namun begitu, Spooner tidak berpuas hati dengan reka bentuk tersebut. Bangunan ini kemudiannya direka semula oleh Bidwell di bawah bimbingan Spooner menggunakan gaya Indo-Saracenic atau Neo-Mughal.
A.B. Hubback, yang baru menyertai kerajaan kolonial sebagai pelukis kanan, turut menyumbang kepada reka bentuk bangunan.
Walaupun A.C. Norman dikreditkan secara rasmi sebagai arkitek, reka bentuk sebenar sebahagian besarnya merupakan hasil kerja Bidwell dengan sumbangan daripada Hubback.
Pada tahun 1974, bangunan ini dinamakan secara rasmi sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad bagi menghormati Sultan Selangor yang memerintah ketika pembinaannya bermula.

Mahkamah Persekutuan Malaysia dan Mahkamah Rayuan berpindah dari bangunan ini ke Istana Kehakiman di Putrajaya sejak awal tahun 2000-an
Tahukah anda, bangunan ini merupakan bangunan terbesar di Malaya ketika itu.
Menara jam setinggi 41 meter itu pula direka menyerupai menara Big Ben, namun menggunakan gaya Ino-Saracenic.
Reka bentuk bangunan digambarkan sebagai gabungan batu merah dan kemasan putih yang sering disebut sebagai “blood and bandages”.