perjalanan putri agt
Kredit: Tribun News, AGT

Pernah Gagal, Ini Perjalanan Putri Sebelum Raih Golden Buzzer Di AGT

Nurhanis

Pernah Gagal, Ini Perjalanan Putri Sebelum Raih Golden Buzzer Di AGT

Perjalanan seorang penyanyi cacat penglihatan, Putri Ariani dalam mencipta nama di persada dunia, tidak mudah seperti yang disangka, pernah mengalami pasang surut sebelum meraih Golden Buzzer di rancangan pencarian bakat, America’s Got Talent (AGT) 2023, baru-baru ini.

Sebelum berjaya di Amerika, Putri Ariani atau nama sebenar Ariani Nisma Putri pernah melakar nama dan mempunyai pengalaman dalam bidang industri muzik Indonesia, memetik Tribun News.

Keadaannya yang kekurangan tidak menghalang untuknya mencapai cita-cita menjadi seorang penyanyi, namun, perjalanannya tidak mudah.

Kerjaya Putri Ariani

Kredit: Tribun News

Pada tahun 2014, Putri telah menyertai acara Indonesia’s Got Talent dan layak mara ke pusingan seterusnya dalam kemunculan pertamanya di rancangan tersebut.

Putri kemudiannya dinobatkan sebagai pemenang dalam rancangan itu dan namanya telah melonjak naik sehingga dia dikenali ramai pada ketika itu.

Kemenangan itu sekali gus menjadi tiket untuknya muncul di beberapa rancangan televisyen, di mana Putri telah menjadi bintang jemputan sebagai juara Indonesia’s Got Talent 2014.

Memasuki tahun 2016, Putri telah menerima penghargaan dalam Anugerah Baiduri sebagai kanak-kanak dengan pencapaian di peringkat kebangsaan.

Tidak terhenti di situ, Putri juga pernah menjadi finalis The Voice Kids Indonesia pada musim kedua.

Namun, Putri terpaksa disingkirkan daripada pasukan Bebi Romeo dalam episod 12.

Bagaimanapun, Putri tidak berputus asa malah dia berterusan belajar dan menunjukkan kepandaiannya dalam bidang nyanyian hingga dijemput muncul sebagai bintang jemputan.

Ketika Indonesia dipilih menjadi tuan rumah Asia Para Games 2018, Putri berpeluang menyanyikan lagu yang bertajuk Song of Victory.

Kredit: Tribun News

Dia muncul pada majlis perasmian Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) seluruh Asia, untuk memberi semangat kepada atlet kurang upaya.

Putri muncul bersama pemuzik lain Once Mekel, Armand Maulana Vidi Aldiano, Maudy Ayunda, Lesti Kejora, Regina Poetiray dan Zara Leola.

Raih Golden Buzzer AGT 2023

Gambar: America’s Got Talent

Semalam, remaja berusia 17 tahun itu berjaya meraih Golden Buzzer (butang emas) selepas berjaya memukau juri dengan persembahan menakjubkan di AGT 2023.

Golden Buzzer itu diberikan sendiri oleh salah seorang juri, Simon Cowell selepas remaja tersebut menyanyikan dua lagu sambil bermain sebuah piano di atas pentas.

“Saya tahu, kita semua merasakan perkara yang sama, Dia baru berumur 17 tahun, menulis lagu sendiri. Dia juga mempunyai suara yang sangat unik dan sangat-sangat-sangat bagus.

“Saya tidak tahu sama ada ini mungkin akan mengubah impian awak atau tidak. Nah ini dia,” kata Simon yang terus menekan butang emas di atas meja.

Perkara itu secara tidak langsung melayakkannya ke separuh akhir rancangan pencarian bakat itu bagi musim ke-18.

Saksikan videp penuh di link ini.

Sumber: Tribun News

BACA: Seram, Entiti Didakwa Sebagai Pontianak Dirakam Muncul Di Kompleks Imigresen JB