Biasanya ayam dijual sekitar belasan ringgit di Malaysia. Tetapi, ayam milik Firman ini pernah ditawar harga hingga 130 juta Rupiah atau lebih kurang 36.9 ribu ringgit Malaysia.
Apakah keistimewaan ayam milik pemuda Jawa Barat tersebut sehingga ditawar harga sebesar itu?
Firman berkata, ayam miliknya bukan ayam tempatan yang biasa dipelihara warga setempat. Ayam import ini dibeli ketika berumur tiga bulan untuk tujuan pemeliharaan.
Menurutnya, ayam yang diimport dari Thailand itu asalnya dimiliki oleh seseorang yang popular dengan nama Mister Telek.
“Ayam ini merupakan jenis Koyngon dan sekarang umur ayam tersebut sudah mencapai setahun lapan bulan,” ujar Firman.
Katanya, ayam peliharaannya memiliki karakter berbeza dengan ayam-ayam lain ketika berlaga.
“Saat berlaga, ayam ini rajin menggulung, pukul kanan kiri juga main. Untuk masalah perawatan, tentu sebanding dengan kualiti ayam lain seperti memberi vitamin dan jamu sebagai menu sihat ayam laga,” katanya.
Alasan Firman tidak melepaskan ayam itu meskipun ditawar harga tinggi kerana ia fokus kepada pemeliharaannya. Dia belum terfikir untuk mengambil keuntungan daripada penjualan ayam tersebut.
“Kami tidak mahu menjual ayam ini. Memang dari awal lagi fokusnya adalah untuk mengembang biakkan dan ayam ini sering dipasangkan untuk mendapat baka yang berkualiti juga,” ujarnya.
Selain ayam dari Thailand, Firman mengaku di tempatnya, ayam yang dipelihara majoritinya baka import. Bahkan, ada ayam yang diimport dari Jerman.
“Untuk ayam yang berjenis Samo, kami beli induknya dari Jerman. Ayam ini berharga 16 juta Rupiah (sekitar 4.5 ribu ringgit) melalui pengimport di Bandung. Ketika itu, ayam tersebut berusia tiga bulan dan sekarang sudah masuk usia dewasa. Ayam ini telah menghasilkan keuntungan yang cukup besar juga,” katanya.
Firman menjual anak ayam baka Jerman yang berusia tiga bulan ini dengan harga 6 juta Rupiah (sekitar 1.6 ribu ringgit) seekor.
Mengenai pasaran, Firman berkata, pembeli berasal dari pelbagai kota dan daerah di Indonesia, bahkan ada juga dari luar negara.
“Mereka (pembeli) dari Sulawesi, Kalimantan dan majoritinya dari daerah Pulau Jawa. Namun, pernah ada juga pembeli dari Malaysia,” katanya.
SUMBER: Tribunnews.com