
Pernah Derita Kanser Mulut, Keadaan Terkini Ainul Mardhiah Raih Perhatian Ramai
Nama Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin pernah meniti bibir rakyat Malaysia sekitar tahun 2019. Kini, adik Ainul kembali mencuri tumpuan dengan senyuman penuh keceriaan di laman sosial.
Kisah perjuangan adik Ainul berdepan dengan penyakit kanser ketika masih bayi meruntun jiwa, mengundang sebak seluruh negara. Hari ini, Ainul tampil sebagai simbol harapan, kekuatan dan keajaiban berdoa.
Menerusi satu muat naik di laman Facebook peribadi bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, adik Ainul kelihatan gembira bermain ketika berkhemah dalam keadaan yang sihat.
“Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah. Ainul dan perkhemahan. Dunia dia di sini,” ujar Safiuddin.
Gambar-gambar adik Ainul sedang melakukan aktiviti di kelilingi alam semula jadi menyentuh hati ramai. Senyuman yang terukir dengan gelagat spontannya menunjukkan Ainul sedang menikmati kehidupannya seperti kanak-kanak lain.


Adik Ainul pernah mendapat perhatian negara suatu ketika dahulu apabila menghidap kanser Germ Cell Tumor di bahagian mulut. Ketika usianya baru mencecah lapan bulan, keadaannya kritikal dan memerlukan bantuan rawatan lanjutan.
Dengan jasa seorang doktor kelahiran Malaysia yang ketika itu bertugas sebagai doktor pakar pelatih surgikal di sebuah hospital luar negara, Dr Nur Amalina Che Bakri, adik Ainul diterbangkan ke United Kingdom dan menerima rawatan pakar di sana.

Proses pemulihan adik Ainul bukanlah sesuatu yang mudah. Ia penuh dengan ketabahan, air mata serta pengorbanan besar kedua belah pihak ibu dan bapanya.
Namun, di sebalik kesukaran itu, Allah mengurniakan kesembuhan buat si kecil itu. Hari ini, ramai yang tersentuh melihat perubahan Ainul. Daripada seorang bayi yang lemah dan terlantar menahan derita, kini adik Ainul membesar sebagai anak yang riang dan kuat semangat.

Sokongan rakyat Malaysia, sumbangan orang ramai dan keprihatinan para pegawai perubatan menjadi tonggak utama dalam perjalanan Ainul.
Gambar-gambar terkininya membuktikan bahawa kesungguhan berdoa disulami usaha yang tidak pernah putus terjawab jua akhirnya.
Sumber: Ahmad Safiuddin
BACA: Pertama Di Malaysia, Aplikasi Bank Digital Ada Penunjuk Kiblat & Zikir “Counter”
BACA: Matahari Tegak Atas Kaabah 15 Julai Ini, Umat Islam Boleh Semak Arah Kiblat Di Rumah