PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) — Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed berkata mahkamah berpendapat, berdasarkan rekod, tidak menunjukkan terdapat ketidakadilan dalam kes tersebut.
Beliau berkata penekanan Azilah berhubung wujudnya bukti (mendakwa terima arahan daripada pihak ketiga untuk menjalankan pembunuhan itu), tidak membawa kepada situasi luar biasa yang memerlukan semakan.
Terdahulu, panel yang sama menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan Azilah.
Hakim Azahar, bagaimanapun berkata peguam (Najib) Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah bebas untuk hadir di mahkamah berkenaan, sebagai pemerhati bagi pihak beliau (Najib) dalam permohonan semakan itu.
Azilah, 43, memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 dan memohon perintah untuk perbicaraan semula.
Sumber: BERNAMA