Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta merta.
Menerusi ciapan ringkas Bernama, Ismail juga berkata import bahan makanan kini terbuka untuk semua pihak bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
Memetik laporan Astro Awani, beliau memaklumkan perkara tersebut kepada media dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022, hari ini.
“Saya percaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan umumkan secara terperinci, kita bersetuju tadi tiada AP import lagi untuk bahan makanan.
“Ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport bahan makanan masuk ke negara kita. Jadi kalau dulu ada AP lembu, AP daging (dan) macam-macam lagi, mulai hari kita tiada AP lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga telah meminta MAFI mengemukakan perancangan jangka panjang dan jangka pendek dengan segera bagi mengurangkan kesan yang dialami akibat krisis perang Rusia-Ukraine.
Maklumat lanjut akan menyusul.
Sumber: Bernama, Astro Awani