
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini memberi saranan agar gimnasium dan sukan padang dibuka, ekoran pengumuman pembukaan pawagam oleh Perdana Menteri semalam.
“Panggung wayang dibuka? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP (prosedur operasi standard) ketat.
“Ramai yang hampir terhenti nafas. Tolonglah,” tulis Faizal dalam ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memberi maklum balas akan hal ini melalui ciapan di Twitternya sebentar tadi.
“Permintaan Faizal untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar.
“Menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memang prihatin terhadap sektor sukan,” katanya. Tambah Khairy, permintaan Faizal telah dibincangkan dan diputuskan di sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 tadi.
“Berita baik akan diumumkan,” tulis Khairy di akhir hantaran.
Kerajaan sebelumnya telah memberi kelonggaran kepada rakyat dalam negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk melakukan aktiviti sukan luar secara individu tanpa sentuhan. Namun fasiliti sukan seperti gelanggang badminton, futsal, pusat bowling dan gimnasium masih belum menerima lampu hijau untuk beroperasi.
Sumber: Khairy Jamaluddin, Bernama