Keputusan sama ada bazar Ramadan akan diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan situasi semasa COVID-19 di negara ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau, yang juga Menteri Pertahanan, bagaimanapun berkata buat masa ini masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.
“Tidak ada perbincangan formal lagi tentang perkara ini dan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri (Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan) pun masih belum membincangkannya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini, hari ini.
Mengenai cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk prosedur pengurusan bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai-gerai jualan, Ismail Sabri berkata kerajaan akan melihat cadangan itu secara terperinci sama ada ia akan memberi kesan kepada masyarakat atau sebaliknya.
Sumber: BERNAMA