Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin memburuk pada ketika ini, setiap orang perlulah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terhadap tahap kesihatan dan kebersihan walaupun hanya duduk di dalam rumah.
Seperti yang diketahui, virus tersebut menyerang paru-paru manusia dengan begitu pantas sekali. Tanpa sebarang gejala, ia kebiasaannya hanya akan disedari apabila berada pada kategori yang teruk, sekali gus membuatkan ramai orang terpaksa diintubasi.
Disebabkan itu, ramai yang mula paranoid dan risau terhadap keadaan kesihatan masing-masing terutama melibatkan masalah kekurangan oksigen dalam tubuh badan.
Jangan risau kerana korang sendiri boleh memeriksa tahap oksigen dalam darah dengan menggunakan pulse oximeter.
Bagi yang belum tahu, pulse oximeter ini merupakan alat pengukur yang kini semakin banyak digunakan berikutan komplikasi pandemik COVID-19 iaitu kandungan oksigen rendah atau Happy Hypoxia yang menjadi pembunuh senyao tidak bergejala.
Menurut KKM, Hypoxia berpunca daripada pelbagai penyakit terutama paru-paru dan jantung. Ia juga sekali gus menyebabkan kerosakan otak, paru-paru dan organ dalaman badan.
Pengesanan awal kandungan oksigen rendah dengan menggunakan pulse oximeter boleh mengelakkan kematian.
Kadar oksigen yang normal adalah 96% hingga 100% dan yang rendah pula adalah 95% ke bawah. Manakala, kadar pernafasan yang normal adalah selama 12 hingga 20 nafas seminit dan pesakit Hypoxia kebiasaannya akan mempunyai kadar pernafasan 40 hingga 50 nafas seminit.
Pun begitu, orang ramai perlu memastikan agar alat yang digunakan tersebut memenuhi standard perubatan.
Sumber: Bernama