Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan tren LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling di Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan susulan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia 2023 malam ini.
Menerusi perkongsian di Twitter @AskRapidKL, tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pada jam 12.03 tengah malam.
Manakala, tren terakhir menuju ke Putra Heights pula akan berlepas pada jam 12.44 tengah malam.
Tidak cuma itu, tren tambahan juga akan disediakan bagi membawa penumpang setelah selesai perlawanan.
“Penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek dan ke MRT Laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat,” kata Rapid KL.
Ditanya mengenai perlawanan antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu ini, Rapid KL berkata pihaknya akan memberi kemas kini mengenainya nanti.
Dalam pada itu, perlawanan di antara Malaysia dan Turkmenistan akan berlangsung pada jam 9 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sumber: AskRapidKL