PUTRAJAYA, 16 April — Jumlah kenderaan di jalan raya kelihatan bertambah sejak semalam, disebabkan ada perkhidmatan tidak penting yang mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan beroperasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu beliau menegaskan semua industri perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlebih dahulu sebelum memulakan operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“PKP belum ditarik balik, masih berterusan untuk PKP (fasa) ketiga (15 hingga 28 April) dan sesiapa yang ingkar tetap akan dikenakan (tindakan) undang-undang di bawah PKP,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai PKP di sini hari ini.
“Kehadiran begitu banyak kenderaan di jalan raya ini seolah-olah rakyat sudah lupa bahawa PKP masih lagi dilaksanakan dan mereka masih tertakluk kepada undang-undang di bawah PKP,” tambahnya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pihak polis benar-benar serius membuat pemeriksaan ke atas setiap kenderaan di beberapa sekatan jalan raya, yang memang mengakibatkan kesesakan.
Sumber: BERNAMA