
Perkhidmatan Tergendala, CIMB Saran Tangguh Transaksi Atas Talian Buat Sementara
Commerce International Merchant Bankers Berhad Malaysia (CIMB Malaysia) memaklumkan bahawa mereka sedang mengalami gangguan perkhidmatan semasa para pelanggan melakukan transaksi perbankan secara dalam talian.
Oleh itu, pihak CIMB Malaysia menyarankan agar para pelanggan untuk menangguh terlebih dahulu semua transaksi perbankan sementara mereka berusaha memulihkan perkhidamatan tersebut.
“Sementara kami berusaha untuk memulihkan perkhidmatan, kami sarankan anda untuk menangguh transaksi perbankan anda. Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama anda,” tulisnya menerusi laman Facebook Rasmi CIMB Malaysia.
Terdahulu, CIMB dalam satu kenyataan ada menyarankan agar pelanggan sentiasa berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam melindungi diri daripada jenayah siber.
Kenyataan CIMB itu turut mengingatkan para pelanggannya agar tidak berkongsi maklumat penting peribadi dan perbankan seperti OTP, nombor kad bank, ID pengguna, PIN, TAC, dan kata laluan dengan orang lain.
Selain itu, pelanggan-pelanggan juga diminta jangan sesekali untuk mengisi butiran-butiran seperti yang dinyatakan pada mana-mana laman web selain daripada CIMB Clicks serta aplikasi perbankan mudah alih CIMB.
Pelanggan juga hendaklah menyemak alamat atau URL laman web terlebih dahulu, iaitu mempunyai icon kunci dan ”https” sebelum meneruskan urusan. Apabila selesai urusan, pengguna diingatkan supaya menekan butang ”log out”.
Dalam pada itu, anda juga diingatkan supaya tidak menyimpan butiran perbankkan seperti kata laluan dan nombor pin di dalam browser yang digunakan.
CIMB juga menasihati pelanggan agar menghubungi pusat panggilan dengan segera di 03-62047788 sekiranya terdapat pemindahan atau aktiviti yang mencurigakan.
Sumber: CIMB Malaysia