
Perkeso Sahkan Laman Sesawang Digodam, Operasi Harian Tidak Terjejas
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan bahawa sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang pertubuhan itu telah diserang penggodam sejak Sabtu.
PERKESO dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara tersebut.
Berikutan itu, pertubuhan itu memaklumkan telah menggerakkan pelan pengurusan krisis yang diaktifkan pada hari yang sama dengan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) bagi tujuan pemulihan sistem.
Jelasnya lagi, hasil siasatan mendapati peringkat awal modus operandi serangan siber itu bertujuan untuk melumpuhkan infra PERKESO yang digunakan bagi pengoperasian seharian.
“Bagaimanapun, kejayaan unit ICT PERKESO mendapatkan semula sistem akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘character assasination’ (pembunuhan watak) terhadap imej PERKESO,” maklum kenyataan itu hari ini.
Perkhidmatan Berjalan Seperti Biasa
Sementara itu, PERKESO memberi jaminan bahawa insiden terancang yang didalangi oleh penggodam itu tidak akan merencatkan perkhidmatan pertubuhan itu terhadap pencarum, majikan dan orang ramai.
“Justeru, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan,” katanya hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai kebocoran maklumat yang dipaparkan di ‘dark web’ atau laman sesawang gelap, PERKESO menerusi penelitian awal mendapati kesahihan data yang dicuri oleh penggodam itu amat diragui, tidak lengkap dan luput.
Perkara tersebut kerana satu kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap oleh PERKESO, sejak agensi itu ditubuhkan pada Oktober 1971.
“Serangan siber terhadap PERKESO ini bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan berjaya dibendung.
“Tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara, justeru segala hasil forensik akan dikongsikan kepada pihak berkuasa demi mengelak episod sama berulang terhadap agensi lain,” kata PERKESO.
Sumber: PERKESO