Perisik China Warga Singapura Ditahan Sejurus Kembali Ke Tanah Air

Edayu

SINGAPURA, 30 Dis – Dickson Yeo, rakyat Singapura yang mengaku di sebuah mahkamah persekutuan di Amerika Syarikat (AS) menjadi ejen perisikan China bagi mendapatkan ganjaran kewangan, telah kembali ke republik itu hari ini.

Menurut kenyataan Kementian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA), beliau telah diberkas oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada hari sama.

Selain membuat pengakuan di mahkamah persekutuan, kementerian itu menyatakan Yeo telah mendedahkan kepada penyiasat AS bahawa tugasan risikannya sebelum ini menyasarkan beberapa negara lain.

Menurut MHA, ISD akan menyoal siasat Yeo untuk mencari bukti sama ada beliau terlibat dalam aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan Singapura.

Kementerian itu menegaskan bahawa republik tersebut tidak akan membenarkan warganegaranya dipengaruhi unsur-unsur subversif atau dipergunakan mana-mana kuasa asing bagi tujuan yang boleh memudaratkan keselamatan dan kepentingan Singapura.

“Kerajaan Singapura memandang serius tindakan mana-mana rakyatnya yang mempunyai hubungan rahsia dengan pemerintah di negara asing dalam kegiatan pengintipan atau aktiviti subversif atas arahan kuasa asing.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit selaras dengan undang-undang kami,” menurut kenyataan itu.

MHA juga menyatakan bahawa kementerian itu tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai perkara tersebut kerana siasatan sedang dijalankan.

— BERNAMA