Kuala Lumpur, 27 Dis – Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi yang dijadualkan diadakan esok di Kolej New Era, Kajang dibatalkan atas perintah mahkamah.
Perintah berkenaan telah diserahkan kepada pihak Dong Zong pada jam 5 petang tadi, tulis wakil Polis Daerah Kajang dalam satu kenyataannya hari ini.
“Pihak Polis IPD Kajang telah memohon dan mendapat Perintah Mahkamah Kajang untuk pihak Dong Zong tidak meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi yg akan diadakan esok di Kolej New Era, Kajang.”
Sementara itu, pihak polis menyeru agar orang ramai tidak turun ke persidangan berkenaan atau sebarang himpunan yang diadakan oleh mana-mana badan untuk membantah persidangan itu.
Menurut pihak polis, mereka memohon perintah tersebut berikutan banyak laporan polis dibuat di seluruh negara berkait persidangan itu.
“Bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam Pihak polis, khasnya IPD Kajang telah memohon perintah ini atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam yang mana boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah ini.
“Pihak Polis menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan Perintah Mahkamah ini. Polis akan ambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang enggan mematuhinya,” tulisnya.
Menurut laporan Astri Awani yang menghubungi Ahli Jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong berkata, pihaknya tiada pilihan lain dan akur dengan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Sumber: Polis Daerah Kajang, Astro Awani