SEREMBAN, 30 Jun (Bernama) — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menangkap seekor beruang matahari jantan seberat 40 kilogram selepas memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Jimah Lama, dekat sini, semalam.
Pengarah Perhilitan negeri Wan Mat Wan Harun berkata perangkap itu dipasang sejak 18 Jun lepas, susulan aduan penduduk kampung mengenai kelibat seekor beruang matahari tersebut di lokasi berkenaan, pada 12 Jun.
“Haiwan itu memasuki perangkap pada 7.15 malam dan sebaik menerima maklumat itu, tujuh anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke kampung berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut. Beruang itu sesat terutama ketika musim durian ini. Berkemungkinan bau durian telah menarik perhatian beruang matahari itu keluar dari habitat asal,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata beruang tersebut berada dalam keadaan sihat dan telah dirawat oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke kawasan hutan simpan perlindungan hidupan liar di negeri ini pada pagi tadi bagi memastikan spesiesnya terjaga.
Jelasnya, beruang matahari tidak akan bertindak agresif sekiranya tiada sebarang provokasi dikenakan ke atas haiwan berkenaan bagaimanapun ia tetap berbahaya kerana memiliki gigi dan kuku yang tajam.
Sumber: BERNAMA