Kredit: AFP & Twitter

Pergolakan Sri Lanka: Lelaki Ditahan Curi Bendera Presiden, Jadikan Cadar & Kain Sarung

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Pihak polis telah menahan seorang lelaki yang didakwa curi dua bendera rasmi dari istana Presiden, Gotabaya Rajapaksa dan menggunakannya sebagai cadar dan kain sarung.

Menurut laporan AFP seperti yang dilapor Channel News Asia, difahamkan lelaki terbabit yang ditahan polis pada Sabtu, 30 Julai baru-baru ini merupakan pemimpin sebuah kesatuan pekerja Sri Lanka.

Kredit: AFP

Menurut sumber pegawai polis, lelaki tersebut ditahan pada malam Jumaat berikutan satu hantaran di media sosial yang memaparkan dia sedang menggunakan bendera rasmi presiden sebagai cadar dan kain sarung.

“Kami telah mengenal pasti identiti lelaki daripada video tersebut dan didapati video itu telah dimuat naik oleh anaknya.

Kredit: Twitter

“Dia memberitahu pihak siasatan bahawa dia telah membakar salah satu daripada bendera tersebut. Nasib baik, pihak kami berjaya menyelamatkan lagi satu bendera yang dia jadikan sebagai kain sarung,” katanya kepada AFP, memetik Channel News Asia.

Lelaki tersebut telah ditahan reman selama dua minggu untuk siasatan lanjut, pegawai itu menambah.

Buat masa ini, terdapat puluhan ribu orang awam marah terhadap krisis negara pulau tersebut dan menyerbu kediaman Rajapaksa berserta pejabat pinggir laut pada awal bulan Julai yang lalu.

Tindakan rakyat yang tidak terkawal telah memaksa pemimpin itu untuk melarikan diri ke luar negara dan seterusnya, meletakkan jawatan.

Sebanyak 22 juta penduduk Sri Lanka terpaksa bertahan selama berbulan-bulan dengan pelbagai masalah seperti bekalan elektrik terputus, inflasi dan kekurangan barangan asas seperti makanan, bahan api dan petrol.

Penunjuk Perasaan Telah Hilang Sabar dan Menyerbu Kediaman Presiden

Rajapaksa telah dipersalahkan oleh penunjuk perasaan atas kegagalan beliau dalam menguruskan kewangan negara. Kemarahan mereka selama berbulan-bulan menjadi semakin membara sebelum demonstrasi besar-besaran diadakan untuk memaksa pengunduran beliau.

Selepas penunjuk perasaan berjaya mengambil alih istana presiden, terdapat banyak hantaran media sosial yang tular. Antaranya adalah imej mereka bermain kolam dan melompat di atas katil-katil di tempat tersebut.

Kredit: AFP

Berdekatan perkarangan Temple Trees, penunjuk perasaan juga telah menyerbu kediaman rasmi presiden pada hari yang sama. Mereka telah mengambil beberapa barangan seperti televisyen dan barang berharga yang lain.

Pihak polis mengatakan bahawa repositori barangan seni antik dan bernilai juga telah diambil daripada bangunan era kolonial.

Sungguhpun begitu, pihak penunjuk perasaan juga menyerahkan wang kepada pihak berkuasa sekitar RM205,000 dalam bentuk wang kertas yang telah ditemui di salah satu bilik istana presiden.

Pengganti Rajapaksa, Ranil Wickremesinghe, telah berikrar akan bertindak tegas terhadap “pembuat masalah” dan pihak polis telah menahan beberapa pemimpin protes sejak kebelakangan ini.

Gambar hiasan | Kredit: AFP

Parlimen telah melanjutkan keadaan darurat minggu ini, memberikan kuasa menyeluruh kepada tentera untuk tempoh yang lama bagi mengekalkan ketenteraman dan menahan suspek.

Minggu lalu, pihak tentera telah merobohkan kem protes di luar pejabat presiden yang telah lama berkempen untuk penyingkiran Rajapaksa. Tindakan tersebut telah menyebabkan tentera Sri Lanka mendapat kecaman antarabangsa. Masyarakat global telah menuduh tentera menggunakan kekerasan yang berlebihan ke atas penunjuk perasaan tidak bersenjata.

Sumber: Channel News Asia