Semalam, kita dikejutkan dengan pemergian seorang ilmuan Islam yang terkenal di Malaysia, Almarhum Ustaz Ismail Kamus.
Pemergian tokoh yang pernah terkenal dengan penampilannya dalam rancangan agama di televisyen ini pastinya meninggalkan kesan kepada ramai pihak.
Sebentar tadi, sahabat seperjuangannya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi kenangan terakhir bersama tokoh itu.
Mengenangkan sosok tubuhnya sentiasa mengingatkan saya kepada nostalgia ceramahnya di era 80an dan 90an yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat baik di kaca televisyen mahupun koleksi kasetnya yang terjual entah tidak terkira bilangannya.
Kehadirannya sentiasa dinantikan umat Islam di Malaysia setiapkali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam (kini Forum Perdana Ehwal Islam) di TV1. Celotehnya yang bersahaja, disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut.
Kali terakhir saya makan bersama almarhum adalah pada 17 Disember 2019. Walaupun kelihatan uzur, namun almarhum tetap bersemangat menggagahkan diri untuk bersama-sama saya pada malam tersebut.
Kita kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah. Moga Allah SWT memberi ketabahan kepada keluarga almarhum.
اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهُ ، وَارْحَمْـهُ ، وَعَافِهِ ، وَاعْفُ عَنْـهُ ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـهُ ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَهُ ، وَاغْسِلْـهُ بِالْمَـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدِ ، وَنَقِّـهِ مِنَ الْخَطَـايَا كَمَا نَـقَّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسِ،وَأَبْـدِلْهُ دَارًا خَـيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلًا خَـيْرًا مِنْ أَهْلِـهِ ، وَزَوْجًا خَـيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِـلْهُ الْجَـنَّةَ ، وَأَعِـذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَـبْرِ وَعَذَابِ النَّـارِ
Allahyarham Ustaz Ismail Kamus, 72, disahkan meninggal dunia setelah menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarham dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.