SHAH ALAM, 22 Dis (Bernama) — Pengguna jalan raya yang melalui Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15, menuruni Bulatan Melawati keluar ke Lebuhraya Persekutuan arah Klang diminta berhati-hati berikutan terdapat pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Facebook rasminya meminta pengguna jalan raya untuk berhati-hati serta memperlahankan kenderaan masing-masing ketika melalui kawasan itu.
“MBSA memaklumkan bahawa tindakan awal sudah diambil yang mana kawasan pergerakan tanah itu sudah ditutup dengan kanvas bagi mengekang pergerakan tanah.
“Kon juga dipasang di laluan berkenaan sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya,” menurut hantaran berkenaan.
Terdahulu, tular gambar menunjukkan tanah di susur keluar Bulatan Melawati ke Klang mengalami rekahan.
Sumber: Bernama