PUTRAJAYA, 4 Nov – Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi pergerakan merentas negeri.
Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berikutan situasi wabak COVID-19 masih lagi membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan supaya MKN segera menilai semula sama ada aktiviti sosial masih boleh dibenarkan atau tidak.
“(Dalam masa sama) juga menilai semula keperluan untuk memperketatkan lagi SOP pergerakan rentas daerah dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian setelah mempengerusikan Sidang Khas MKN hari ini yang menumpukan perhatian terhadap beberapa isu utama, termasuklah pembentangan SOP Pilihan Raya Kecil Batu Sapi oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.
Jelas Muhyiddin, PRK kali ini dilihat agak sukar untuk dilaksanakan ekoran pandemik di Sabah masih lagi memuncak pada masa ini.
Sehubungan itu, SPR dan Jabatan Peguam Negara diminta untuk mengkaji beberapa aspek perundangan yang membolehkan PRK Batu Sapi ditangguhkan sehingga COVID-19 berakhir.
Selain itu, fasiliti untuk menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 di seluruh Sarawak juga dicadangkan agar dinaik taraf.
“Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.
“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak telah pun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi Negeri Sarawak pada Sidang Khas MKN esok.
“Saya ingin pastikan bahawa semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan untuk mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 di dalam negara akan diberikan pertimbangan sewajarnya,” tambah kenyataan itu lagi.
Sumber: Facebook Rasmi Perdana Menteri