Gara-gara menuruti syarat ritual pelik untuk dapatkan duit, seorang ibu di wilayah Muna, Sulawesi Tenggara didakwa tergamak merelakan anak gadisnya sendiri ditiduri dan diperkosa bomoh palsu.
Merujuk laporan iNews, bomoh tersebut dipercayai mampu menggandakan wang menjadi lebih banyak melalui ritual pemujaan, dengan syarat perlu melakukan hubungan seks dengan gadis tersebut.
Jurucakap polis Muna, Kasat Reskrim (gambar) berkata, kegiatan terkutuk itu berlaku di sebuah rumah tumpangan di wilayah berkenaan dan ia bukanlah berlaku pertama kali.
“Ibu ini minta agar dibukakan rezeki ke bomoh. Syaratnya harus menyerahkan anak gadisnya. Selama disetubuhi, ibu ini menghantar anaknya ke motel dan menunggu dari luar,” katanya.
Menurut laporan itu lagi, mangsa berusia 16 tahun itu telah diperkosa bomoh palsu terbabit berulang-kali sejak 2019 lalu hinggalah kali terakhir pada Julai tahun ini.
Bagaimanapun, perbuatan terkutuk itu akhirnya terbongkar apabila mangsa tekad mengadukan nasib malangnya itu kepada ayahnya yang baru pulang dari perantauan.
Bertindak atas maklumat, ayahnya segera melaporkan kes itu yang melibatkan isterinya sendiri berserta bomoh palsu tersebut kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, suspek (bomoh palsu) kini sedang dalam buruan polis, manakala si ibu durjana tersebut berdepan hukuman penjara selama 15 tahun.
Menurut laporan itu, ibu mangsa tersebut didakwa atas tuduhan memaksa serta menyuruh anaknya (mangsa) untuk melakukan persetubuhan dan perbuatan cabul dengan orang lain.
Sumber: iNews