Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan suasana tegang di lapangan terbang Kabul hingga memakan korban nyawa. Ribuan orang berasak-asak untuk keluar dari Afghanistan selepas penguasaan Taliban terhadap negara itu.
Pun begitu, kira-kira 200 pelarian Afghanistan di Pakistan memilih untuk pulang ke negara asal mereka. Memetik laporan AFP, pelarian-pelarian ini percaya akan kebolehan Taliban menstabilkan kembali negara mereka yang berpecah-belah akibat perang.
“Kami keluar dari Afghanistan semasa pengeboman dan ketegangan, semasa umat Muslim dalam kesusahan.
“Tapi sekarang Alhamdulillah, situasi sudah normal, jadi kami mahu pulang ke Afghanistan,” kata seorang pelarian kepada AFP.
“Orang awam mahu pulang tapi kami tak dibenarkan melintasi sempadan.
“Kami memohon kepada kerajaan Pakistan untuk pulang kerana sekarang sudah tiada perang dan sudah aman,” keluh seorang lagi pelarian Afghanistan semasa ditemui AFP.
Pakistan setakat ini telah menerima kira-kira 2 juta pelarian Afghanistan sejak 40 tahun perang meletus di negara itu.
Memetik laporan AFP, pelarian Afghan turut rasa kurang selesa dan tak disambut baik oleh Pakistan kerana kekangan pekerjaan dan hak kerakyatan.
Sumber: AFP