Seorang wanita di Palembang, Indonesia yang mendapatkan rawatan daripada seorang dukun untuk mengembalikan perawannya mendakwa telah dirogol, lapor Kumparan.
Di hadapan pegawai SPKT Polis Palembang, mangsa yang berusia 20 tahun itu telah mengakui bahawa dia datang ke rumah dukun tersebut atas saranan daripada teman lelakinya.
“Tujuannya berubat adalah untuk mengembalikan keperawanannya,” kata polis.
Namun, semasa ritual rawatan itu dijalankan, dukun tersebut dilaporkan telah memintanya untuk melakukan hubungan seks.
Walaupun pada awalnya mangsa dilaporkan telah menolak permintaan dukun tersebut, dia terpaksa menuruti kemahuan dukun berkenaan kerana diugut, memetik laporan Kumparan.
Selepas kejadian pertama, dukun tersebut telah menasihati mangsa untuk menjalani rawatan secara berkala dan bertahap sehingga keinginan mangsa dapat direalisasikan.
“Tapi setiap kali rawatan dijalankan, dukun tersebut selalu memaksanya untuk melakukan persetubuhan. Jadi sudah dua kali,” katanya.
Tetapi setelah kejadian kedua, mangsa menyedari bahawa dia telah tertipu dan memutuskan untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Palembang, Komisioner Edi Rahmat Mulyana, mengesahkan bahawa dia telah menerima laporan berkenaan kejadian itu.
“Laporan itu sudah diterima dan kes akan disiasat oleh Unit PPA Satreskrim Polis Palembang,” katanya.
Sumber: Kumparan