Pihak polis di bandar Ho Chi Minh, Vietnam menjatuhkan denda sebanyak 200,000 dong (RM35) ke atas seorang lelaki warga Estonia kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam sebuah lif bangunan pangsapuri, lapor VN Express.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas wanita berusia 36 tahun itu membuat laporan kepada pihak polis dengan mendakwa lelaki Estonia yang berusia 44 tahun berkenaan memukul punggungnya di dalam lif pangsapuri di Ho Chi Minh.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 11 Julai jam 8 malam itu terjadi selepas wanita terbabit menaiki lif bersama dengan lelaki berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua mereka pernah berkenalan. Namun ketika wanita tersebut hendak meninggalkan lif berkenaan, lelaki itu telah bertindak memukul punggungnya dan dikatakan melemparkan kata-kata berunsur penghinaan perkauman.

Wanita tersebut kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada suaminya. Mengetahui berkenaan perkara itu, kedua-dua mereka berjumpa dengannya untuk menuntut permohonan maaf.
Pun begitu, kedua-dua mereka dilaporkan dihina dan diancam oleh lelaki tersebut.
Namun pada ketika itu, mangsa dikatakan belum lagi mahu membuat laporan polis kerana merasakan bahawa lelaki berkenaan hanya akan dihukum membayar denda yang sedikit sahaja.
Berbeza dengan kes rogol, gangguan seksual difahamkan tidak tergolong dalam kesalahan jenayah di Vietnam. Ianya dianggap sebagai kesalahan kecil (berkelakuan tidak senonoh) dan kesalahan tersebut hanya akan didenda diantara 100,000 (RM17.53) hingga 300,000 dong Vietnam (RM52).
Namun selepas dia bertemu dengan lelaki tersebut di dalam bangunan itu sebanyak beberapa kali, dia akan berasa risau. Susulan daripada itu, wanita tersebut memutuskan untuk membuat laporan kepada pihak polis.
Lelaki itu kemudiannya dilaporkan meminta maaf dan berjanji akan meninggalkan pangsapuri tersebut.
Gangguan seksual difahamkan kurang menerima laporan di Vietnam dan tidak ditangani sebagai satu masalah yang serius.
Pada tahun lalu, rakyat Vietnam berang selepas seorang lelaki hanya didenda sebanyak $ 8 (RM32) kerana mencium seorang wanita secara paksa di dalam lif di sebuah bangunan pangsapuri di Hanoi.
Sumber: VN Express