IPOH, 30 Ogos (Bernama) — Kerajaan Negeri Perak memohon untuk meminjam dos vaksin simpanan Kerajaan Negeri Selangor sebagai usaha mengatasi masalah kelewatan penerimaan bekalan vaksin di negeri ini.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata surat permohonan berkaitan permintaan itu telah dikemukakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim kepada Kerajaan Negeri Selangor pagi tadi.
“Kita akan tampung ketidakcukupan dan kelewatan itu dengan meminjam terlebih dahulu sejumlah vaksin daripada Kerajaan Selangor sebab Selangor sudah beli vaksin.
Jika mereka bersedia pinjamkan kepada kita, kita pulangkan semula apabila bekalan telah diterima. Bukan kerana Perak tidak cukup vaksin tetapi penjadualan ketibaan vaksin yang tertakluk kepada pembekal. Insya-Allah Selangor akan membantu kita dalam hal ini.
Penerimaan vaksin yang dipinjam daripada Kerajaan Selangor itu nanti diyakini mampu memastikan vaksin di negeri Perak mencukupi,” katanya ketika sesi penggulungan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Katanya, sehingga 28 Ogos 2021, jumlah bekalan vaksin yang diterima di negeri Perak berjumlah 2,383,460 dos yang terdiri daripada empat jenis vaksin — Comirnaty-Pfizer, Sinovac, AstraZeneca dan CanSino.
Menyentuh mengenai peluasan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Saarani berkata sebanyak 150 buah klinik pengamal perubatan am swasta telah diluluskan sebagai PPV di seluruh Perak sehingga 23 Ogos 2021.
Ia melibatkan Daerah Kinta (58), Manjung (22), Larut Matang Selama (16), Kerian (11), Hilir Perak (10), Muallim (10), Kampar (8), Kuala Kangsar (lima), Hulu Perak (tiga), Batang Padang (tiga), Perak Tengah (dua), Bagan Datuk (dua).
Dalam pada itu, persidangan hari terakhir ini yang bermula sejak Rabu lepas juga meluluskan lima usul sebulat suara yang membabitkan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Turut diluluskan adalah usul-usul melantik keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.
Persidangan kali ini diadakan menggunakan konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan dewan pada hari pertama persidangan.
Sumber: BERNAMA