
Berhenti memakan nasi merupakan salah satu di antara langkah pertama yang sering diambil oleh sebahagian daripada kita ketika mula mengamalkan diet.
Bagaimanapun, kajian telah menunjukkan yang sebaliknya. Prof Tomoko Imai dari Doshisha Women’s College of Liberal Arts di Kyoto, Jepun dan pasukannya mendakwa makan nasi dapat membantu mengurangkan risiko obesiti.
Menurut hasil kajian mereka, negara yang mengamalkan gaya pemakanan ala Jepun atau Asia yang berasaskan nasi mempunyai kadar obesiti yang lebih rendah berbanding negara-negara lain.

Kajian yang dijalankan ini telah melibatkan kajian di peringkat antarabangsa melibatkan 136 buah negara dan hasilnya telah dipersembahkan semasa Kongres Eropah mengenai Obesiti(ECO) yang berlangsung di Glasgow, Scotland baru-baru ini.
Prof Tomoko turut mencadangkan agar penggunaan nasi sebagai makanan ruji perlu dipertingkatkan bagi menentang kadar obesiti dunia yang sedang meningkat sekarang.
Ini kerana hasil kajian mereka menunjukkan dengan pengambilan 50 gram nasi setiap hari akan dapat mengurangkan kelaziman obesiti sebanyak 1% atau daripada 650 juta orang dewasa kepada 643.5 juta orang dewasa.
Jadi bagi anda yang sedang berdiet dengan berhenti memakan nasi ketika ini, anda mungkin perlu memikirkannya semula.
Sumber: Bloomberg