penyelam hilang
Gambar: Jam Press via The Sun UK

Penyelam Hilang Dua Hari Di Laut Ditemui Hidup Di ‘Benua’ Lain 

Hannah

Penyelam Hilang Dua Hari Di Laut Ditemui Hidup Di ‘Benua’ Lain

Seorang penyelam berusia 23 tahun yang dilaporkan hilang di perairan Maghribi ditemui hidup dua hari kemudian selepas hanyut hampir 100 batu nautika sehingga ke Sepanyol.

Menurut The Sun UK, mangsa dilaporkan menyelam bersama rakan-rakannya di perairan Fnideq, di utara Maghribi, apabila dia tiba-tiba hilang dibawa arus laut pada Rabu lalu.

Seorang kru kapal dagang yang dalam perjalanan ke Portugal ternampak penyelam itu pada jarak kira-kira 24 batu nautika dari Caleta de Vélez, di Costa del Sol, Sepanyol, pada Jumaat.

Pihak berkuasa Sepanyol segera dimaklumkan, sebelum sebuah helikopter dihantar untuk melakukan operasi menyelamat. Rakaman dari udara menunjukkan detik cemas sebelum mangsa dipindahkan dari kapal dagang berkenaan.

Mangsa kemudian diterbangkan ke bandar Motril di Costa Tropical, yang mempunyai helipad kecemasan, sebelum dikejarkan terus ke hospital.

Mangsa dilaporkan stabil, masih dalam pemerhatian

Walaupun mengalami hipotermia dan dehidrasi, keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Polis memaklumkan, mangsa yang masih memakai sut menyelam ketika ditemui, memberitahu dia dihanyutkan arus deras ke tengah laut dan terpisah daripada kumpulannya.

Sejak hilang pada Rabu petang, mangsa dipercayai telah hanyut sejauh 96 batu merentasi Laut Mediterranean.

Dia kini masih dalam pemerhatian doktor dan dijangka akan dihantar pulang ke Maghribi selepas pulih, lapor The Sun UK.

BACA: Berlayar Berhampiran “Segi Tiga Bermuda”, Lelaki Kongsi Penemuan ‘Kapal Hantu’

BACA: Misteri Segitiga Bermuda: Saintis Dakwa Rahsia Akhirnya Terungkai

BACA: Indonesia Dakwa ‘Pihak Asing’ Punca Kekecohan Di Negaranya

Sumber: The Sun UK