Penyanyi terkenal Indonesia, Dionisius Prasetyo atau lebih dikenali dengan gelaran Didi Kempot dilaporkan telah meninggal dunia pagi tadi di Rumah Sakit Kasih Ibu, Solo di Jawa Tengah.
Kematian penyanyi berusia 53 tahun itu disahkan oleh penolong pengurus hospital berkenaan, Divan Fernandez.
“Ya benar, dia (Didi) dimasukkan ke rumah sakit ini pada pagi tadi dan meninggal dunia,” katanya
Bagaimanapun, menurut Divan, punca kematian masih belum diketahui dan sedang dalam siasatan pihak hospital.

Sementara itu, seorang ahli saudara terdekat, Lili, berita pemergian penyanyi tersebut amat mengejutkan dan di luar jangkaan.
“Didi masih beraktiviti seperti biasa pada sebelumnya (kematian).
“Dia kini masih lagi berada di ruang jenazah,” jelasnya pada pemberita Kompas TV dalam satu wawancara.
Didi Kempot sebelum ini turut terkenal dengan jolokan nama Bapak Loro Ati Nasional, Bapak Patah Hati Indonesia, Lord Didi dan yang terbaharu, Godfather of Broken Heart.
Kebanyakan lagunya berkisarkan kisah tentang kesedihan, cinta, romantisma dan patah hati.
Antara lagu-lagu nyanyiannya yang terkenal di Indonesia adalah Layang Kangen (2012), Kalung Emas (2013), Banyu Langit (2016), Ora Isu Mulih (2019) dan Ambyar (2019).