Penyanyi Lagu Pretty Little Baby Meninggal
Gambar: TNS

Penyanyi Lagu “Pretty Little Baby” Meninggal Dunia Pada Usia 87 Tahun

Iqbal Yasir

Penyanyi Lagu “Pretty Little Baby” Meninggal Dunia Pada Usia 87 Tahun

Penyanyi ikonik Amerika Syarikat, Connie Francis, yang terkenal dengan lagu Pretty Little Baby dan Everybody’s Somebody’s Fool, meninggal dunia pada usia 87 tahun, lapor New York Post.

Perkara itu disahkan oleh rakan dan pengurus hak cipta, Ron Roberts menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, kira-kira dua minggu selepas Francis dimasukkan ke hospital akibat kesakitan melampau.

“Dengan hati yang amat berat, saya memaklumkan bahawa rakan baik saya, Connie Francis, telah meninggal dunia malam tadi. Saya yakin beliau mahu peminatnya menjadi antara yang pertama mengetahui berita ini,” kata Roberts.

Francis, yang merupakan antara penyanyi wanita paling berjaya pada era 1950-an dan 1960-an, dimasukkan ke hospital di Florida pada 2 Julai lalu bagi menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kesakitan yang dialaminya.

BACA:Sekurang-kurangnya 50 Maut Dalam Kebakaran Besar Di Pusat Beli-Belah Di Iraq

Beberapa hari kemudian, penyanyi kelahiran Newark, New Jersey itu memaklumkan kepada peminat bahawa keadaannya semakin baik dan masih berada di bawah pengawasan doktor.

Sebelum kematiannya, Francis sempat meluahkan rasa terharu apabila lagu Pretty Little Baby kembali tular di platform TikTok, lebih enam dekad selepas ia diterbitkan pada tahun 1962.

“Saya tidak ingat pun lagu itu! Tapi memikirkan lagu yang dirakam 63 tahun lalu masih menyentuh hati ramai sangat luar biasa,” katanya dalam satu video yang dimuat naik pada 26 Jun lalu.

Connie Francis dilahirkan pada 1937 dengan nama sebenar Concetta Rosa Maria Franconero. Minatnya terhadap muzik bermula sejak usia empat tahun apabila aktif menyertai pertandingan bakat di kejiranannya.

Antara lagu popular lain beliau termasuk Who’s Sorry Now?, My Heart Has A Mind Of Its Own, Where the Boys Are dan Don’t Break The Heart That Loves You.

Beliau turut mencipta sejarah sebagai penyanyi wanita pertama yang berjaya menduduki carta teratas Billboard Hot 100 menerusi lagu Everybody’s Somebody’s Fool pada tahun 1960.

Francis mengumumkan persaraannya daripada dunia muzik pada 2018.

Sumber: New York Post