TEXAS, 26 Ogos – Penyanyi band Power Trip, Riley Gale dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 34 tahun.
Memetik kenyataan di laman Twitter band dari Dallas, Texas, Amerika Syarikat (US) itu, pihaknya menceritakan tentang Riley yang sering menyentuh hati peminat melalui lirik dan hati ketika riwayatnya.
“Dia menerima semua orang yang dia jumpa sebagai kawan dan dia juga sentiasa mengambil berat akan kawan-kawannya.
“Kami akan mengenang kehidupan Riley dan tidak akan melupakan segala usahanya dalam muzik, kebajikan dan cinta yang dia tinggalkan. Anda, sebagai peminat, tolonglah tahu betapa istimewanya anda,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, para peminat dialu-alukan untuk berkongsi sebarang kenangan indah mereka bersama mendiang di ciapan Twitter tersebut.
Dalam pada itu, pihak Power Trip memohon agar peminat menghormati detik-detik privasi mereka ketika ini.
Bagaimanapun, punca kematian masih belum dikenal pasti lagi setakat ini.

Sumber: Power Trip