
Penunjuk Perasaan Ingkar Tindakan Keras, Rakaman Video Dedah Pertempuran Ganas Di Iran
Penunjuk perasaan di Iran mencabar tindakan keras berdarah kerajaan dengan turun ke jalan raya pada malam Sabtu, lapor BBC.
Laporan mendakwa ratusan individu terbunuh atau cedera akibat tindakan pasukan keselamatan sepanjang tiga hari lalu.
Rakaman video yang disahkan serta keterangan saksi yang diperoleh BBC menunjukkan kerajaan meningkatkan tahap tindak balasnya ketika negara itu terus melaksanakan sekatan internet secara menyeluruh.
Peguam Negara Iran, Mohammad Movahedi Azad memberi amaran bahawa sesiapa yang menyertai protes akan dianggap satu kesalahan serius yang boleh membawa hukuman mati.

Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan dipercayai telah ditahan sejak demonstrasi berkenaan bermula lebih dua minggu lalu.
Difahamkan, protes yang tercetus akibat lonjakan inflasi itu kini merebak ke lebih 100 bandar dan pekan di seluruh wilayah Iran.
BBC melaporkan penunjuk perasaan turut menuntut penamatan pemerintahan ulama di bawah kepimpinan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Khamenei sebelum ini menolak tuntutan penunjuk perasaan dengan melabelkan mereka sebagai “sekumpulan perosak” yang kononnya bertujuan untuk “menyenangkan” Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sehubungan itu, Kerajaan Iran telah mengenakan sekatan internet secara menyeluruh sebagai usaha mengekang protes.
Infrastruktur data negara itu dikawal ketat oleh kerajaan dan pihak keselamatan, dengan akses internet sebahagian besarnya terhad kepada intranet domestik serta sambungan yang sangat terhad ke dunia luar.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa secara berperingkat menyekat akses kepada internet global.
Namun, dalam gelombang protes kali ini, kerajaan buat pertama kali bukan sahaja menutup akses kepada internet antarabangsa, malah turut menyekat penggunaan intranet domestik secara meluas.
Seorang pakar memberitahu BBC Persian bahawa sekatan internet kali ini jauh lebih teruk berbanding yang dilaksanakan semasa kebangkitan “Wanita, Kehidupan, Kebebasan” tiga tahun lalu.
Penyelidik internet, Alireza Manafi berkata akses internet di Iran dalam apa jua bentuk kini dipercayai hampir terputus sepenuhnya.
Menurutnya, satu-satunya kaedah yang berkemungkinan untuk berhubung dengan dunia luar adalah melalui perkhidmatan satelit Starlink.
Namun begitu, beliau memberi amaran bahawa pengguna perlu berhati-hati kerana sambungan tersebut berpotensi dikesan oleh pihak berkuasa.

BBC dan kebanyakan organisasi media antarabangsa lain juga tidak dapat membuat liputan dari dalam Iran, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan dan mengesahkan maklumat.
Bagaimanapun, beberapa rakaman video telah muncul, dan BBC berjaya berhubung dengan individu yang berada di lokasi kejadian.
Rakaman video yang disahkan dari malam Sabtu menunjukkan penunjuk perasaan menguasai jalanan di daerah Gisha, Tehran.
Beberapa video lain yang turut disahkan oleh BBC Verify memaparkan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Boulevard Vakil Abad, Mashhad, bandar kedua terbesar Iran.
Dalam rakaman tersebut, penunjuk perasaan bertopeng dilihat berlindung di sebalik tong sampah beroda dan unggun api, manakala barisan pasukan keselamatan kelihatan di kejauhan.

Sebuah kenderaan yang dipercayai sebuah bas turut dilihat terbakar.
Sementara itu, satu lagi klip yang dirakam di daerah Heravi, di timur laut Tehran, dan disahkan oleh BBC Persian serta BBC Verify memaparkan sekumpulan penunjuk perasaan berarak di jalan raya sambil melaungkan tuntutan supaya pemerintahan ulama ditamatkan.
Sumber: BBC