
Penunggang Motosikal Maut Digilis Lori
KUALA LANGAT — Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah lori dalam satu kemalangan di Kilometer 32 Jalan Klang–Banting–Port Dickson pada Rabu.
Ketua Polis Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Mohd Radzi berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.10 petang
Difahamkan, mangsa,17, yang merupakan lelaki warga tempatan menunggang motosikal jenis Yamaha 115 warna Kelabu/Hijau dari arah Telok Datok menghala ke Banting.
“Sewaktu sedang menunggang di tengah-tengah lorong kanan antara lorong kanan dan lorong kiri mangsa telah hilang kawalan dan jatuh ke lorong kanan.
“Kemudian datang lori jenis Nissan warna merah bergerak terus di lorong kanan telah melanggar penunggang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Akibat pelanggaran, mangsa dan motosikalnya telah terperosok di bawah kenderaan berat itu lalu digilis pada tayar belakang kanan kenderaan terbabit.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Manakala pemandu lori yang berusia 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Akmalrizal, siasatan mendapati mangsa memiliki lesen memandu yang sah dan memakai topi keledar semasa kemalangan berlaku.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Langat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Polis Daerah Kuala Langat