Penunggang Motosikal Maut Digilis Dalam Nahas Babit 3 Kenderaan
Seorang penunggang motosikal dilaporkan maut digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 36 Jalan Klang-Teluk Intan di Kuala Selangor pada Isnin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 terkorban di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin, menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah kereta terlebih dahulu.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh dan memasuki laluan kenderaan MPV di sebelah kiri arah sama.
“Akibat motosikal terjatuh pada jarak dekat, MPV itu tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit menyebabkan mangsa digilis dan berada di bawah kenderaan MPV berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis kini sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai meninggalkan lokasi kejadian sebaik pelanggaran awal berlaku.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
BACA: “Ana Timbullah…”, Rayuan Ayah Mangsa Hanyut Arus Deras Sg. Air Beruk
BACA: Pengguna Jalan Raya Terkandas Lebih Satu Jam Sebab Gajah ‘Main’ Tengah Jalan
BACA: Dua Maut Dalam Kemalangan Dipercayai Akibat Lopak Air
Sumber: Sinar Harian