Salman Rushdie
Kredit The New York Times

Penulis Kontroversi, Salman Rushdie Kritikal, Ditikam Berkali-kali Di Atas Pentas

Syed Faisal Sayed Muhammad

Penulis kontroversi Salman Rushdie ditikam di atas pentas

Penulis kontroversi, Salman Rushdie, 75, dilapor ditikam beberapa kali ketika hadir dalam satu acara di New York, Amerika Syarikat, semalam. Dia dijadualkan akan memberi ucapan berkenaan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai negara yang selamat untuk penulis sepertinya.

Nama Salman mula menjadi terkenal selepas menerbitkan sebuah buku kontroversi pada 1988 yang menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya umat Islam.

Memetik laporan BBC, pengurusnya, Andrew Wylie, memaklumkan keadaan Salman ketika ini sebagai ‘tidak baik’ dan berkemungkinan kehilangan sebelah mata. Dia yang ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital juga dilapor tidak mampu bercakap dan bergantung kepada ventilator.

“Salman berkemungkinan akan kehilangan sebelah mata, saraf di bahagian tangannya rosak teruk manakala organ hatinya ditikam dan rosak,” kata Andrew dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pihak polis dilapor berjaya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai merupakan suspek utama penyerang.

Menurut kenyataan polis, penyerang didakwa naik ke atas pentas dan menikam Salman dan seorang host dalam satu acara yang sedang berlangsung di Institusi Chautauqua Institution di barat New York.

Polis tidak mendedahkan motif serangan dan tiada maklumat sama ada penyerang akan didakwa dibawah mana-mana akta. Pasukan penyiasat dilapor masih menunggu waran bagi merampas dan memeriksa beberapa bahan bukti yang ditemui di lokasi kejadian.

Salman ditikam sekurang-kurang sekali di leher dan di beberapa bahagian abdomen yang lain, kata polis lagi. Saksi mendedahkan suspek masih cuba menyerang Salman biarpun orang ramai cuba menghalangnya.

BACA: Kadar Inflasi Turki Cecah 70% Kerana OPR Terlalu Rendah, Kenapa OPR Turun Ibarat ‘Ubat’ Pulihkan Ekonomi Negara Yang ‘Tenat’

Sumber: The New York Times, BBC