Seperti yang kita tahu, penularan virus COVID-19 varian Omicron di Malaysia kini semakin meningkat dan sedikit sebanyak mendatangkan kebimbangan kepada masyarakat.
Oleh itu, ramai yang mula membatalkan tempahan bilik sepanjang musim cuti penggal persekolahan selama tiga minggu bermula Sabtu ini, lapor Kosmo.
Menurut Kosmo, pemilik rumah penginapan, pengusaha hotel serta peniaga berkemungkinan mengalami penyusutan dari segi pendapatan kerana kegusaran orang awam terhadap penularan varian ini.
Rata-rata daripada mereka lebih memilih untuk membawa keluarga bersiar-siar di lokasi sekitar kawasan kediaman dan tidak perlu menginap di kawasan yang sesak.
Pun begitu, sebilangan pengusaha dikatakan masih mendapat tempahan dan kunjungan pelancong walaupun menerima pembatalan tempahan.
Sementara itu, tinjauan Kosmo turut mendapati keadaan lengang di Bandar Hilir, Melaka semalam kerana jumlah pengunjung dan pelancong semakin berkurang menyebabkan penyusutan serta pembatalan tempahan hotel.
Sumber: Kosmo