
Istimewa Untuk Cucu-Cucu, Atuk Bawa Balik “Plushie” Unta Dari Mekah
Sejak dua minggu lalu, para jemaah haji telah pulang semula ke tanah air dan disambut dengan penuh rasa kesyukuran, kesayuan dan kegembiraan oleh ahli keluarga.
Walaupun bukan perkara yang wajib, namun kepulangan mereka juga kebiasaannya dipenuhi dengan barang-barang yang dibeli di Mekah. Buah tangan itu adalah sebagai tanda ingatan kepada keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan.
Antara barang yang sering dibeli adalah sejadah, jubah atau abaya, kurma, tasbih, minyak wangi dan pelbagai lagi barang yang menarik.
Bagaimanapun, baru-baru ini seorang jemaah mencuri tumpuan apabila dilihat membawa plushie unta yang dipercayai akan diberikan kepada cucu-cucunya.
“Amboi haji keliling pinggang sangkut unta,” kata kapsyen di akaun TikTok Team Airport Tabung Haji Travel.
Jemaah itu dilihat sedang menolak bagasinya dan meletakkan plushie tersebut di bahagian pinggang, membuatkannya menonjol dari jauh.
Di unta tersebut pula, kelihatan tulisan yang tertera Saudi Arabia.
Beberapa orang kanak-kanak dipercayai cucunya dilihat menyambut jemaah terbabit dengan penuh kegirangan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut teruja melihat jemaah tersebut membawa plushie unta itu. Malah ada juga yang berkongsi kenangan keluarga masing-masing membawa balik barangan dari Mekah.
“Zaman kita dulu atok balik haji belikan kamera yang nampak gambar Kaabah bila tengok dalam tu,” kata seorang netizen.
“Cucu dia memang ramai. Malam tadi saya ada kat situ. Nampak dia bagi kat cucu dia,” kata seorang lagi netizen.
Sehingga kini, video terbabit telah mendapat sebanyak 1.3 juta tontonan di TikTok dan juga turut tular di media sosial lain.
Sumber: Team Airport Tabung Haji Travel