Arahan Bayaran Ansuran CP500
Gambar: LHDNM/FB

Penjelasan Pengeluaran Arahan Bayaran Ansuran CP500 Bagi Pendapatan Selain Daripada Punca Penggajian

Iqbal Yasir

Penjelasan Pengeluaran Arahan Bayaran Ansuran CP500 Bagi Pendapatan Selain Daripada Punca Penggajian

CYBERJAYA — Notis Bayaran Ansuran (CP500) yang telah diserahkan kepada pembayar cukai secara berperingkat pada bulan Disember 2025 adalah berdasarkan pelaporan penerimaan pendapatan oleh pembayar cukai dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

Perkara itu dimaklumkan oleh lembaga itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Maklum HASiL, CP500 hanya dikeluarkan sekiranya pembayar cukai telah melaporkan penerimaan pendapatan daripada punca penggajian dan bukan penggajian.

CP500 ini dikeluarkan selaras dengan peruntukan Seksyen 107B Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

“HASiL telah menerima aduan dan maklum balas daripada pembayar cukai yang telah menerima CP500 walaupun hanya mempunyai punca pendapatan penggajian.

“Berdasarkan semakan lanjut, HASiL, mendapati pembayar cukai berkenaan telah membuat pelaporan yang kurang tepat dalam BNCP, di mana sebahagian pendapatan telah dilaporkan sebagai pendapatan daripada punca dividen, faedah, sewa, royalti, pencen, anuiti dan apa-apa perolehan atau keuntungan lain,” maklum kenyataan itu.

Sehubungan itu, bagi pembayar cukai individu yang hanya mempunyai punca penggajian tetapi telah menerima CP500, pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) bersama borang EA/EC (Penyatan Saraan Daripada Penggajian) kepada Meja Bantuan CP500 melalui e-mel di [email protected].

Sebagai panduan dan rujukan, maklumat berhubung CP502 dan Nota Penerangan CP502 boleh diakses dan dimuat naik dengan mengikuti langkah mudah berikut

1. Layari portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my

2. Klik Menu Borang > muat turun borang > Lain-Lain Borang > Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502)/ Nota Penerangan CP502 atau;

3. layari pautan Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) dan Nota Penerangan CP502 di https://www.hasil.gov.my/media/Ivaduqs5/borang-cp502.pdf dan https://www.hasil.gov.my/media/xejj2kkO/nota-penerangan-cp502.pdf.

“HASiL menyarankan pembayar cukai melaporkan pendapatan dalam BNCP dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur.

“HASiL komited untuk terus memperkasa sokongan dan bimbingan kepada pembayar cukai bagi memudahkan pelaksanaan tanggungjawab percukaian secara telus dan efisien,” maklum kenyataan itu lagi.

Sumber: LHDNM/FB