
Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) ingin menjelaskan bahawa Jatronics Sdn Bhd(“Jatronics”) bukanlah pengeluar semikonduktor di Malaysia, seperti yang dilaporkan. Jatronics adalah sebuah syarikat perdagangan Malaysia yang terlibat dalam “perdagangan/borong semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi”. Jatronics didakwa membekalkan komponen elektronik kepada firma-firmaRussia yang berkaitan dengan industri ketenteraan dan baru-baru ini dimasukkan ke dalam senarai sekatan unilateral AS.
MITI ingin menekankan bahawa Tindakan Jabatan Kewangan Amerika Syarikat terhadap Jatronics adalah sebahagian daripada sekatan yang mensasarkan 300 entiti dari pelbagai negara, termasuk Republik Rakyat China (PRC), Belgium, Türkiye, Slovakia, dan UAE, berhubung dengan konflik Ukraine-Russia.
Malaysia menguatkuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) melalui Akta Perdagangan Strategik 2020 (STA 2010), yang mengawal eksport, transit, transshipment, dan pemberian konsesi barangan strategik, khususnya yang berpotensi digunakan untuk membangunkan senjata ketenteraan yang canggih.
STM memerlukan syarikat-syarikat yang mengeksport dan yang berada dalam rangkaian bekalan untuk melakukan segala usaha yang diperlukan untuk mengetahui maklumat penting iaitu destinasi akhir, pengguna akhir, dan penggunaan produk. Berdasarkan rekod, Jatronics bukanlah syarikat yang berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport di bawah Akta ini.
MITI juga ingin menjelaskan bahawa Malaysia mematuhi sekatan multilateral dan menggunapakai “senarai pengguna akhir yang terhad atau dilarang” di bawah Resolusi Majlis KeselamatanPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).
Russia tidak disenaraikan oleh UNSCR dan oleh itu tidak termasuk di bawah STA 2010. Berdepan cabaran rangkaian bekalan global dan batasan daripada sekatan unilateral, MITI menasihati syarikat-syarikat untuk peka terhadap senarai sekatan yang dikenakan oleh negara lain, seperti AS.
MITI juga menggesa pengeksport untuk berwaspada dan sentiasa mengambil maklum mengenai sebarang langkah-langkah yang membataskan perdagangan dan sekatan unilateral yang dikenakan oleh rakan perdagangan utama untuk memastikan mereka tidak akan dikenakan sebarang sekatan atau halangan bukan cukai lain.
MITI telah berkomunikasi dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai sekatan unilateral AS, sambil terus meningkatkan pemantauan urus niaga perdagangan antarabangsa pengeksport dan pengeluar Malaysia. MITI juga akan meneruskan libat urus dan kerjasama dengan rakan-rakan perdagangan utama untuk menangani kebimbangan, menyatakan pegangan berkecuali Malaysia, dan memastikan bahawa keputusan ekonomi kita terus mempromosikan persekitaran perdagangan global yang selamat dan terjamin.