Kuala Lumpur: Penjawat awam di negara ini digalakkan menyumbang kepada tabung khas COVID-19 bagi meringankan beban mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan kewangan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata ia sebagai langkah sokongan kepada kerajaan dan keprihatinan terhadap pihak terjejas akibat wabak berkenaan.
“Seperti kita tahu, wabak COVID-19 ini memberi kesan kepada banyak sektor terutama pelancongan dan pemain industri itu sendiri. Semua penjawat awam digalakkan untuk menyumbang sekadar termampu sebagai sokongan kepada pihak yang terjejas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam, sebagai tanda prihatin dengan individu yang terjejas dengan jangkitan COVID-19, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan tabung khas bagi memberi bantuan kewangan kepada pihak yang memerlukan.
Muhyiddin berkata sebagai permulaan, bantuan ihsan sebanyak RM1 juta disalurkan ke dalam tabung tersebut bagi membantu pesakit yang tidak mempunyai pekerjaan dan terganggu kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih.
Sementara itu, Adnan berkata penubuhan tabung itu juga dilihat sebagai kesinambungan pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula menyeru lebih banyak syarikat korporat tampil menyumbang kepada tabung itu bagi membantu pekerja yang terjejas berikutan virus tersebut.
“Permulaan RM1 juta ini tidak besar, ia memerlukan jumlah lebih besar terutama untuk membantu pekerja terjejas terutama yang kehilangan pendapatan akibat wabak ini,” katanya.
Beliau berkata seperti di negara lain, misalnya Australia, pekerja yang terjejas dan dikuarantin diberi pelepasan cuti bergaji, berbanding secara sukarela dan cuti tanpa gaji seperti yang dilaksanakan oleh syarikat penerbangan negara ini.
Majikan di negara ini, katanya, perlu mengikut jejak langkah sedemikian supaya kesan terhadap pekerja yang terjejas dapat diminimumkan.
Pandangan Dr Zainal Ariffin turut dipersetujui Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor yang berpandangan selain penubuhan tabung khas ini, kerajaan melalui kementerian berkaitan juga disaran menyediakan kemudahan tanpa mengurangkan pendapatan pekerja yang terjejas.
Sumber: Bernama