KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) — Jabatan Penjara Malaysia hari ini menafikan dakwaan kononnya bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri dibawa keluar untuk bertemu orang kenamaan atau VVIP pada Februari lepas.
Menerusi satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun ini. Kali terakhir Azilah dibawa keluar pada 15 April 2015 iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.
“Pengiringan bagi menghadiri perbicaraan itu dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang.
“(Ia selaras) Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang dinyatakan,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyatan itu lagi, berdasarkan rekod, Azilah telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun yang lalu.
“Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir,” jelas kenyataan itu.
Jabatan Penjara sekali lagi menegaskan sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan Azilah telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk bertemu VVIP adalah tidak benar sama sekali.
Semalam, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu VVIP Februari lalu.
Media tempatan sebelum ini menyiarkan berita di muka depan bahawa Azilah dalam Akuan Bersumpah (SD), mendakwa arahan untuk membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dikeluarkan Najib, yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.
Sumber: BERNAMA