
Penjaga Gol Maut Selepas Selamatkan Sepakan Penalti
Perlawanan futsal di Brazil bertukar tragis selepas seorang penjaga gol meninggal dunia beberapa saat selepas menyelamatkan sepakan penalti, lapor The Sun UK.
Mangsa, Antonio Edson dos Santos Sousa, 34, yang lebih dikenali dengan panggilan Pixe menahan sepakan itu menggunakan dadanya sebelum sempat meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan.
Bagaimanapun, detik gembira itu bertukar cemas selepas dia secara tiba-tiba rebah. Insiden itu sempat dirakam menerusi siaran langsung dalam talian.
Susulan itu, pemain dan pegawai perlawanan segera memanggil bantuan perubatan, namun usaha menyelamatkan mangsa gagal. Pixe disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Difahamkan, penjaga gol itu mewakili pasukan Sind Motos dalam kejohanan futsal amatur yang dianjurkan bersempena minggu kemerdekaan Brazil.
Dalam pada itu, Persekutuan Futsal Para mengeluarkan satu kenyataan berhubung kejadian dan melahirkan rasa sedih atas pemergian pemain itu.
“Kami menerima berita pemergian Antonio Edson dos Santos Sousa dengan penuh dukacita. Dia seorang atlet berdedikasi, berbakat dan bersemangat tinggi.
“Kehadirannya akan sentiasa diingati, bukan sahaja kerana prestasinya di gelanggang, tetapi juga keperibadiannya yang disenangi ramai,” tulis kenyataan itu.
Bagaimanapun, punca rasmi kematian masih belum dapat dipastikan.
Sumber: The Sun UK