Gambar: Google

Peniaga Di Melaka Sentral Dapat Diskaun Sewa Tiga Bulan

Sha Rossa

Melaka: Peniaga di Kompleks Perniagaan Melaka Sentral kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri menawarkan diskaun sewa selama tiga bulan untuk mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata diskaun sewa yang diberikan kepada peniaga bermula April hingga Jun itu membabitkan sebanyak RM911,986.45 dan ia ditanggung oleh Melaka Sentral Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.

”Pemberian diskaun ini dibuat setelah pihak pengurusan Melaka Sentral mengambil kira kehilangan pendapatan yang dihadapi oleh peniaga berikutan arahan penutupan perniagaan akibat PKP dan PKPB bagi membendung penularan COVID-19.

”Bagi April, penyewa diberikan pengecualian bayaran sewaan 100 peratus; manakala Mei pengurangan sewaan 50 peratus dan Jun pengurangan sewaan 30 peratus, bagaimanapun mereka perlu membayar caj perkhidmatan bulanan untuk tempoh diskaun itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Melaka Sentral menguruskan dua bangunan utama iaitu Terminal Melaka Sentral yang menempatkan 218 lot kedai, gondola, reruai dan tapak promosi manakala Medan Selera pula menempatkan 70 lot kedai. Jumlah keseluruhan adalah 288 unit.

Sumber: Bernama